MRA, AFA Prime Dan The Coffee Bean & Tea Leaf Anjur Program "Jom Balik Kampung"

Pada 28 Mac lalu, Malaysian Relief Agency (MRA), AFA Prime dengan kerjasama The Coffee Bean & Tea Leaf telah menganjurkan "Program Jom Balik Kampung" untuk menyemarakkan musim perayaan dan mengingatkan orang ramai untuk memandu dengan cermat agar selamat tiba di destinasi masing-masing.

Dalam program yang berlangsung di Tol Gombak ini, MRA dan AFA Prime mengagihkan sebotol mineral, satu kotak air berperisa, dua bungkus "Gardenia QuickBites Roti Krim", serta lima biji kurma dalam setiap satu pek Jom Balik Kampung sebagai juadah ringkas berbuka puasa ketika melakukan perjalanan.

Bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan trafik sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman, AFA Prime telah meningkatkan tenaga kerja di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sebanyak 21% berbanding hari-hari biasa.

Sementara itu, The Coffee Bean & Tea Leaf turut menyediakan 1000 roti ban ayam barbeku secara percuma kepada pengguna lebuhraya di dalam perjalanan pulang ke Pantai Timur untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kerjasama ini merupakan kali kedua The Coffee Bean & Tea Leaf berganding bahu dengan MRA. Sebelum ini syarikat tersebut turut bersama-sama mengambil bahagian dalam program 'Kongsi Rezeki' di Masjid Jamek Alam Shah, Pudu dengan mengedarkan bubur lambuk serta 300 roti ban ayam barbeku kepada orang ramai di beberapa stesen MRT.

Program "Jom Balik Kampung" bukan sahaja bertujuan untuk memeriahkan sambutan perayaan, tetapi juga sebagai usaha kebajikan dalam membantu memudahkan perjalanan rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman pada bulan Ramadan lepas. MRA mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dan berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan.